Tuesday, August 24, 2010

pelajar tahfiz derita sakit buah pinggang rayu bantuan

Seorang pelajar Maahad Tahfizul Quran Adnan Yaakob (MTQAY) merayu bantuan kewangan daripada orang ramai untuk mengubati penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak Februari lalu.

Pelajar berkenaan, Tablin Mohamed, 17, berkata, dia dikesan mengalami penyakit tersebut sejak Februari lalu dan kini menjalani proses mencuci darah tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis, Hospital Bentong (HB).

“Saya diberitahu perbelanjaan untuk proses menggantikan satu buah pinggang memerlukan kos yang agak besar iaitu RM130,000 di China atau RM70,000 di India.

“Saya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana saya hidup miskin malah untuk membayar proses mencuci darah tiga kali seminggu pun tidak mampu,” katanya yang berasal dari Kampung Cham di Kemboja.

Ketika ditemui di Pusat Hemodialisis, Hospital Bentong dekat sini semalam, katanya, sejak kedua-dua buah pinggangnya dikesan rosak, dia telah menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Tablin yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik memberitahu, ibunya hanya bekerja sebagai petani untuk menyara hidup mereka sekeluarga setelah bapanya mati dibunuh dengan kejam oleh tentera Pol Pot.

”Saya datang ke sini untuk menimba ilmu dan mendalami hafazan al-Quran hampir setahun yang lalu di MTQAY tetapi tidak menyangka pula saya akan mengalami penyakit buah pinggang dan menghadapi ujian seperti ini.

”Sejak ditimpa penyakit itu saya kini lebih banyak berehat dan hanya menjalani aktiviti ringan sahaja di MTQAY tetapi saya tetap berazam dan tabah untuk menamatkan pengajian hafazan al-Quran di sini,” katanya yang bersemangat dan pasrah menghadapi ujian itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MTQAY, Aziz Mohamed Mohd. Ali memberitahu, perkara yang menimpa Tablin merupakan sesuatu yang tidak diduga memandangkan dia sebelum ini disahkan sihat.

”Tablin ialah seorang pelajar yang bijak dan cemerlang apabila mampu menghafaz 15 juzuk al-Quran tetapi pembelajarannya kini terganggu ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya itu.

”Sejak kedua-dua buah pinggangnya rosak, Tablin terpaksa menjalani rawatan mencuci darah tiga kali seminggu di Hospital Bentong yang menelan belanja RM360,” katanya.

Oleh kerana Tablin bukan warganegara Malaysia, dia tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan dan pihak TMQAY terpaksa membayar kos rawatan sepenuhnya iaitu RM120 setiap kali menjalani proses mencuci darah.

Menurut Aziz Mohamed, pihak TMQAY tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung kos perubatan dan rawatan mencuci darah.

Sehubungan itu pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak untuk memastikan pelajar tersebut dapat meneruskan pelajarannya dan menjalani kehidupan harian dengan baik.

”Pada peringkat awalnya, kami bercadang menghantar Tablin pulang ke kampung asalnya di Kemboja tetapi membatalkan hasrat tersebut memandangkan di negara itu tidak mempunyai kemudahan rawatan penyakit buah pinggang yang sempurna dan kekangan kewangan daripada keluarga Tablin sendiri,” katanya.

Tambahnya, TMQAY sedang berusaha mencari sumber kewangan bagi membantu Tablin supaya dapat menjalani rawatan dan proses pemindahan buah pinggang yang memerlukan perbelanjaan yang besar.

Selain mengharapkan bantuan orang ramai, TMQAY telah menghantar rayuan kepada Pejabat Menteri Besar Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Pusat Zakat Selangor, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan.

Setakat ini kata Aziz Mohamed, MUIP telah menghulurkan bantuan RM3,000 dan berharap Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan dapat memberikan pengecualian caj dan kos rawatan mencuci buah pinggang.

Katanya, TMQAY turut meletakkan tabung bagi mendapatkan bantuan orang ramai di Stesen Minyak Petronas di Lebuhraya Bentong-Gombak berhampiran Plaza Tol Bentong.

”Orang ramai yang ingin menderma boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun RHB bernombor 25602600003329 atau menghubungi talian telefon di nombor 019-0302002, 019-9830940 dan 019-9442272 untuk mendapatkan penerangan lanjut,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment