Monday, December 8, 2008

Muhammad Syamil

no akaun BSN En Nordin ialah: 04122 29 0000 1882 5 (nordin bin mohd ali)

dari akhbar Utusan:

ARKIB : 22/11/2008
Muhammad Syamil perlukan bantuan

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN

KULIM 21 Nov. - Seorang remaja terpaksa menghabiskan usia mudanya dengan terlantar di katil selepas disahkan menghidap penyakit Arterivemous Malformation (AVM) atau kegagalan fungsi otak yang menyebabkannya lumpuh sejak dua tahun lalu.

Muhammad Syamil Nordin, 19, dibawa keluarganya berulang-alik menjalani rawatan di tujuh buah hospital termasuk di Singapura tetapi keadaan penyakitnya masih tidak dapat disembuhkan sepenuhnya.

Penderitaan anak sulung empat beradik itu bermula ketika dia terjatuh di sekolah pada tahun 1999 sebelum disahkan menghidap gangguan saraf otak dan pernah menjalani pembedahan otak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Sejak itu, Muhammad Syamil banyak menghabiskan masa berpindah-randah mendapatkan rawatan di beberapa buah hospital termasuk di Hospital Alor Star, HUKM, Hospital Kulim, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ipoh dan Hospital Pulau Pinang.

Penyakit remaja malang itu juga pernah dirujuk di dua buah hospital pakar iaitu di Pusat Perubatan Sunway (Selangor) dan Singapore Gamma Centre di Singapura.

Bapa remaja itu, Nordin Mohd. Ali, 59, berkata, walaupun doktor mengesahkan harapan untuk anaknya itu sembuh sepenuhnya agak tipis, dia sekeluarga tidak mahu berputus asa.

''Kami menerima keadaan (Muhammad) Syamil dengan penuh keredaan sebagai satu suratan takdir tetapi saya kena usahakan kerana harapan masih ada walaupun tipis.

''Walaupun dia sakit tetapi sekali-sekala dia mampu tersenyum bila kami panggil namanya. Itu yang memberikan kami harapan untuk lihat dia sembuh semula," katanya.

Nordin yang juga bekas pengawal keselamatan berkata, selepas menjalani pembedahan otak pada tahun 2002, anaknya itu mula beransur pulih tetapi penyakitnya kembali serius apabila sekali lagi terjatuh di rumah pada tahun 2006.

Sejak itu katanya, rawatan demi rawatan yang sudah menelan kos lebih RM150,000 tidak berjaya menyembuhkan sepenuhnya penyakit Muhammad Syamil dan remaja itu kini hanya mampu terlantar di rumahnya di Kampung Padang Kulim di sini.

Lebih malang, adik Muhammad Syamil, Norlizah, 10, pula disahkan menghidap penyakit paru-paru berair sejak berusia dua tahun.

Nordin berkata, dia terpaksa mengeluarkan semua wang simpanan selain meminjam daripada majikannya ketika bekerja di sebuah kilang sebelum ini, untuk membiayai perubatan Muhammad Syamil.

''Selepas dapat bantuan pinjaman majikan, saya bayar sedikit demi sedikit dan berjaya melangsaikannya sebelum berhenti kerja. Duit simpanan juga sudah dibelanjakan untuk tampung kos rawatan," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga kini bergantung kepada isterinya, Azizah Yahya, 48, yang memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan di sebuah kilang di sini selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300.

Nordin berkata, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM500 sebulan untuk membeli ubat, susu khas dan kos pemeriksaan perubatan serta latihan akupunktur yang dijalani Muhammad Syamil setiap bulan.

Sehubungan itu, beliau merayu sumbangan orang ramai termasuk pakar penyakit saraf otak termasuk pengamal perubatan tradisional untuk tampil membantu merawat penyakit anaknya itu.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Nordin di talian 012-5786792 .