Tuesday, August 24, 2010

Rayuan Sumbangan Rumah Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri

Rumah Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri (RAYM Taman Baiduri) mempunyai 16 orang anak lelaki yang berusia 7-15 tahun. Anak-anak ini datang dari pelbagai latar belakang, pengalaman dan sejarah hidup yang perit. Keperitan hidup yang dilalui oleh sebahagian mereka sebelum berpindah ke RAYM Taman Baiduri terlalu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Kami berazam untuk mengubah juadah berbuka puasa mereka sebelum ini daripada ’nasi, kicap dan air sejuk’ kepada ’nasi, ikan, sirap dan buah’. Kami juga berazam untuk menjadikan Syawal mereka daripada ”tiada baju raya’ kepada ’sehelai T-shirt dan kain pelikat’. Kami hanya merancang berdasarkan kemampuan yang ada.


Setelah hampir enam bulan beroperasi, RAYM Taman Baiduri masih mengharapkan bantuan dan sokongan semua pihak untuk terus kukuh berdiri menjaga kebajikan anak-anak yang kurang bernasib baik di sini agar mereka semua menjadi insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara dan berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Keperluan asas masih belum mencukupi dan kemudahan rekreasi dan sosialisasi masih belum mampu disediakan. Sehubungan itu, RAYM Taman Baiduri membuka peluang seluas-luasnya kepada seluruh muslimim dan muslimat untuk melakukan amal jariah sepanjang Ramadhan al-Mubarak ini.

Rumah Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri

No. 11A, Jalan 2
Taman Baiduri
43800 Dengkil, Selangor

Tel: 03-87688507 (pejabat)
019-6539701 (En. Shukry Latar – Pengerusi)
012-5774873 (Ust Helmi Jamaluddin – Timb. Pengerusi)
012-9520396 (Utz Fuad Hilmi – Timb. Pengerusi)
012-2904873 (Dr. Haji Lukman – Pekerja Sosial)
013-9183228 (En. Izaha Ismail – Penyelia)


NOMBOR AKAUN

· MAYBANK ISLAMIC BERHAD , ATAS NAMA TABUNG KEBAJIKAN RUMAH ANAK-ANAK YATIM / MISKIN TAMAN BAIDURI.(162834034545).


· CIMB BANK , CAWANGAN DENGKIL. ATAS NAMA TABUNG KEBAJIKAN RUMAH ANAK YATIM / MISKIN TAMAN BAIDURI. (1267-0005898-52-4 )

pelajar tahfiz derita sakit buah pinggang rayu bantuan

Seorang pelajar Maahad Tahfizul Quran Adnan Yaakob (MTQAY) merayu bantuan kewangan daripada orang ramai untuk mengubati penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak Februari lalu.

Pelajar berkenaan, Tablin Mohamed, 17, berkata, dia dikesan mengalami penyakit tersebut sejak Februari lalu dan kini menjalani proses mencuci darah tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis, Hospital Bentong (HB).

“Saya diberitahu perbelanjaan untuk proses menggantikan satu buah pinggang memerlukan kos yang agak besar iaitu RM130,000 di China atau RM70,000 di India.

“Saya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana saya hidup miskin malah untuk membayar proses mencuci darah tiga kali seminggu pun tidak mampu,” katanya yang berasal dari Kampung Cham di Kemboja.

Ketika ditemui di Pusat Hemodialisis, Hospital Bentong dekat sini semalam, katanya, sejak kedua-dua buah pinggangnya dikesan rosak, dia telah menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Tablin yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik memberitahu, ibunya hanya bekerja sebagai petani untuk menyara hidup mereka sekeluarga setelah bapanya mati dibunuh dengan kejam oleh tentera Pol Pot.

”Saya datang ke sini untuk menimba ilmu dan mendalami hafazan al-Quran hampir setahun yang lalu di MTQAY tetapi tidak menyangka pula saya akan mengalami penyakit buah pinggang dan menghadapi ujian seperti ini.

”Sejak ditimpa penyakit itu saya kini lebih banyak berehat dan hanya menjalani aktiviti ringan sahaja di MTQAY tetapi saya tetap berazam dan tabah untuk menamatkan pengajian hafazan al-Quran di sini,” katanya yang bersemangat dan pasrah menghadapi ujian itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MTQAY, Aziz Mohamed Mohd. Ali memberitahu, perkara yang menimpa Tablin merupakan sesuatu yang tidak diduga memandangkan dia sebelum ini disahkan sihat.

”Tablin ialah seorang pelajar yang bijak dan cemerlang apabila mampu menghafaz 15 juzuk al-Quran tetapi pembelajarannya kini terganggu ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya itu.

”Sejak kedua-dua buah pinggangnya rosak, Tablin terpaksa menjalani rawatan mencuci darah tiga kali seminggu di Hospital Bentong yang menelan belanja RM360,” katanya.

Oleh kerana Tablin bukan warganegara Malaysia, dia tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan dan pihak TMQAY terpaksa membayar kos rawatan sepenuhnya iaitu RM120 setiap kali menjalani proses mencuci darah.

Menurut Aziz Mohamed, pihak TMQAY tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung kos perubatan dan rawatan mencuci darah.

Sehubungan itu pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak untuk memastikan pelajar tersebut dapat meneruskan pelajarannya dan menjalani kehidupan harian dengan baik.

”Pada peringkat awalnya, kami bercadang menghantar Tablin pulang ke kampung asalnya di Kemboja tetapi membatalkan hasrat tersebut memandangkan di negara itu tidak mempunyai kemudahan rawatan penyakit buah pinggang yang sempurna dan kekangan kewangan daripada keluarga Tablin sendiri,” katanya.

Tambahnya, TMQAY sedang berusaha mencari sumber kewangan bagi membantu Tablin supaya dapat menjalani rawatan dan proses pemindahan buah pinggang yang memerlukan perbelanjaan yang besar.

Selain mengharapkan bantuan orang ramai, TMQAY telah menghantar rayuan kepada Pejabat Menteri Besar Pahang, Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Pusat Zakat Selangor, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan.

Setakat ini kata Aziz Mohamed, MUIP telah menghulurkan bantuan RM3,000 dan berharap Menteri Kesihatan dan Menteri Kewangan dapat memberikan pengecualian caj dan kos rawatan mencuci buah pinggang.

Katanya, TMQAY turut meletakkan tabung bagi mendapatkan bantuan orang ramai di Stesen Minyak Petronas di Lebuhraya Bentong-Gombak berhampiran Plaza Tol Bentong.

”Orang ramai yang ingin menderma boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun RHB bernombor 25602600003329 atau menghubungi talian telefon di nombor 019-0302002, 019-9830940 dan 019-9442272 untuk mendapatkan penerangan lanjut,” ujarnya.

Muhamad Fadli Kamarul Azman (pengidap penyakit hidrosefalus)

PUCHONG: Meskipun berlaku komplikasi ketika dilahirkan, Muhamad Fadli Kamarul Azman atau Ali, 12, yang lincah dan periang sempat menikmati kehidupan normal.
Bagaimanapun, pada usia lima tahun, penyakit hidrosefalus yang menyebabkan kepalanya membesar mendadak meragut kebahagiaannya.

Selepas lebih 20 pembedahan dalam dua tahun bagi mengeluarkan cecair, Ali kini terlantar dan hanya mampu menggerakkan tangan kanan, manakala penglihatannya hilang kesan pembedahan.

Kakak Ali, Norzahila Kamarul, 26, berkata, penderitaan adiknya itu dirasai seluruh keluarga yang merindui keletah comelnya ketika sihat.

“Kini Ali tidak mampu bersuara atau menangis. Kami hanya tahu bila dia sakit atau sedih, air matanya menitis,” katanya.

Bapanya, Kamarul Azman Abu, 52, peniaga gerai makanan ringan berkata, walaupun kos hidup semakin tinggi, barang keperluan Ali tetap disediakan.

“Kos perubatan dan lampin pakai buang mencecah RM1,000 sebulan, jika termasuk susu dan makanan, biasanya perbelanjaan bulanan Ali RM 2,000,” katanya di Taman Puchong Perdana, di sini semalam.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan diminta menghubungi Norzahila di talian 017-3047306; melalui akaun Maybank Norzahila, 164164821295 atau akaun Maybank Kamarul Azman, 162348431483.

Katanya, pendapatan mereka sekeluarga cuma RM700 hingga RM 800 sebulan bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan serta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) masing-masing RM300 sebulan.

Bagaimanapun, bantuan LZS sudah ditamatkan dan Kamarul sedang berusaha melanjutkan tempoh bantuan itu selain mengharapkan bantuan orang ramai dan agensi kerajaan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan diminta menghubungi Norzahila di talian 017-3047306 atau melalui akaun Maybank Norzahila, 164164821295 atau akaun Maybank Kamarul Azman, 162348431483.